Selangor rekod kes tertinggi HFMD sehingga 5 April – KKM
May 7, 2025

KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) paling tinggi dengan 16,794 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, selain itu, dua lagi negeri yang mencatatkan peningkatan kes penyakit berjangkit itu adalah Johor dan Perak.
“Hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes antara 300 hingga 800 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
“Selain Selangor, Johor adalah negeri yang merekodkan kes kedua tertinggi HFMD iaitu 6,384 kes manakala Perak dengan 5,510 kes,” katanya kepada BH.
Media sebelum ini melaporkan beberapa negeri mencatatkan peningkatan kes HFMD, antaranya di Pulau Pinang, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Mac lalu, sebanyak 3,446 kes direkodkan, selain 533 kes di Terengganu sementara Kelantan bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April lalu mencatatkan 4,591 kes.
Kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak di bawah usia enam tahun yang berada di pusat asuhan dan tadika.
KKM turut memaklumkan, hanya dua negeri yang setakat ini menunjukkan penurunan kes HFMD iaitu Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mengulas penularan kes HFMD hampir di seluruh negara ketika ini, KKM memberitahu, ia bukan berpunca daripada sambutan Aidilfitri, sebaliknya trend peningkatan wabak itu dikesan sejak Disember tahun lalu.
Susulan daripada itu, KKM melakukan pelbagai intervensi secara menyeluruh, termasuk penutupan premis seperti tadika dan taska sekiranya perlu.
“Antara langkah kawalan dilakukan ketika ini adalah melakukan siasatan dan kawalan wabak yang dijalankan secara berterusan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.
“Selain itu pihak KKM juga mengadakan sesi ‘town hall’ bersama agensi berkaitan termasuk pengusaha taska serta tadika.
“Pemantauan turut diberikan bagi kes teruk dan pada masa sama turut dilakukan pengambilan sampel enterovirus,” katanya.
Tambah KKM, tindakan pencegahan turut dipertingkatkan bagi memastikan kawalan berterusan terhadap wabak HFMD.
Ini katanya, termasuk menggalakkan pengusaha premis pusat jagaan harian dan tadika untuk melakukan disinfeksi setiap hari dan memastikan kanak-kanak bawah jagaan mereka sentiasa menjaga kebersihan diri.
Selain itu, KKM turut memperkukuh promosi kesedaran wam mengenai wabak HFMD melalui infografik di media sosial dan portal KKM.